PERILAKU UMAT AKHIR ZAMAN 2
Rasulullah s.a.w pernah berdoa:
“ Ya Allah! Janganlah engkau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (iaitu para sahabat) dengan suatu zaman di mana (pada zaman itu) para ulama sudah tidak diikut lagi, dan orang yang bersopan-santun sudah tidak disegani lagi.
(Ahmad)
Huraian hadith:
Nabi Muhammad memohon perlindungan daripada Allah s.w.t agar baginda dan para sahabatnya tidak hidup pada zaman di mana para ulama dan orang baik diketepikan. Boleh jadi sekaranglah zaman yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w itu. Kini nasihat dan teguran daripada para ulama sudah tidak dihiraukan. Sebaliknya para ulama itu pula yang dikatakan salah dan sesat. Maksiat berleluasa. Orang tidak segan lagi membuat maksiat walaupun di depan orang alim dan khalayak ramai. Malahan kadang-kadang perbuatan maksiat itu sengaja dibuat di hadapan para ulama untuk menunjukkan rasa ego si pembuat dan juga untuk menyakitkan hati para ulama.
Begitu juga dengan orang yang bersopan-santun sudah tidak dihormati lagi. Masyarakat lebih suka menyanjung orang yang bersikap keras (brutal), sering membuat lawak, menjatuhkan air muka orang lain secara berkelakar, berperangai gila-gila, mengikut ‘trend’ Barat (tajaan Atheis, Yahudi dan Nasrani) dan lain-lain sedangkan itu semua bertentangan sama sekali dengan sifat-sifat nabi Muhammad s.a.w. Orang yang lemah-lembut dan bersopan-santun sudah tidak ada tempat dalam masyarakat.
Sabda baginda:
“Tidak akan terjadi hari Qiamat sehinggalah umatku bermegah-megah dengan masjid.”
(Abu Daud)
Huraian hadith:
Kata Nabi, hari Qiamat akan berlaku setelah umat Islam bermegah-megah dengan masjid. Inilah yang berlaku sekarang. Banyak masjid yang besar-besar, yang mahal-mahal bahan binaannya, yang siap dengan kolam dan taman, yang dalamnya dihiasi dengan perhiasan yang indah-indah dan dihebahkan pula kehebatannya di dalam media seluruh dunia tetapi kosong daripada jemaah. Manusia berbangga dengan masjid, bukan dengan banyaknya jemaah ke masjid. Pada zaman Rasulullah, masjid tidak dihiasi tetapi suasananya sangat meriah, sentiasa ada banyak orang yang beribadah di dalamnya siang dan malam.
Sabda baginda lagi:
“Apabila suatu urusan telah diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah hari Qiamat.”
(Bukhari)
Huraian hadith:
Kini kita lihat bagaimana para ulama diketepikan dan orang yang tidak layak menjadi ulama dilantik memegang jawatan dalam hal-hal keagamaan. Maka akan datanglah Qiamat. Sudahkan kita membuat persediaan?
Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda:
“Di pintu gerbang hari Qiamat nanti akan wujud undang-undang penipuan di mana orang-orang yang jujur akan menjadi orang yang tertuduh dan orang-orang yang sepatutnya menjadi yang tertuduh (sebaliknya) dipercayai (pula) dan pada masa itu akan muncullah ar-rawaibidhah, lalu para sahabat bertanya: “ Apakah ar-rawaibidhah itu?” Kata Rasulullah: “Iaitu orang-orang bodoh yang berbicara tentang urusan-urusan masyarakat umum.”
(Ahmad & Thabrani)
Huraian hadith:
Memang sekarang telah wujud undang-undang penipuan tersebut. Lihat saja di seluruh dunia bagaimana banyak orang-orang baik lagi alim yang didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman sedangkan orang-orang yang sepatutnya dihukum boleh pula bersenang-lenang, bahkan mendapat kepercayaan orang-ramai pula. Yang jahil tentulah orang ramai yang mempercayai orang tersebut. Maka kita yang telah belajar hadith-hadith Rasulullah ini janganlah menyokong undang-undang penipuan ini dan jangan juga menyokong orang-orang jahat itu.
Siapakah orang-orang bodoh yang membicarakan urusan masyarakat umum? Lihat saja kini bagaimana para artis boleh dijadikan tokoh jemputan atau pun pengerusi dalam majlis-majlis yang membicarakan politik, pemerintahan, ekonomi, sosial dan lain-lain yang bukan bidangnya.